Corak pembelajaran bagi bilik darjah untuk abad ke 21, ternyata dah berubah seiring dengan peredaran zaman. Dengan teknologi moden yang semakin berkembang, ternyata kemahiran yang diperlukan pelajar abad ke 21 ini juga jauh berbeza berbanding pelajar abad ke 20 suatu ketika dahulu. Jom kita tengok 3 kemahiran penting yang diperlukan oleh pelajar untuk abad ke 21 ini.
1. Kemahiran Maklumat dan Komunikasi
Sesuai dengan perkembangan teknologi, maka pelajar haruslah mempunyai literasi terhadap maklumat dan media. Celik ICT orang kata. Dengan kemajuan teknologi dan sistem komunikasi yang bertambah canggih dengan adanya internet dan jalur lebar, maka ini juga mendorong kepada pengukuhan kemahiran berkomunikasi yang lebih berkesan. Komunikasi yang berkesan juga boleh membantu pelajar abad ke 21 dalam memperolehi ilmu dengan lebih meluas dan dunia tanpa sempadan.
2. Kemahiran Berfikir dan Menyelesaikan Masalah
Pelajar abad ke 21 juga perlu mempunyai jenis pemikiran yang kritikal dan bersistem. Jenis pemikiran yang sebegini mampu memberi kelebihan kepada pelajar, terutamanya apabila berkaitan dengan penyelesaian masalah.
Kemahiran berfikir secara kreatif juga mampu membawa pelajar abad ke 21 ke arah perkembangan yang positif. Dengan semangat meneroka yang tinggi, maka diharapkan mereka akan dapat menghasilkan sesuatu baru yang lebih mendatangkan manfaat kepada semua.
3. Kemahiran Interpersonal dan Arah Kendiri
Kemahiran penting yang perlu dikuasai pelajar adalah kemahiran interpersonal dan kolaborasi. Mempunyai semangat juang dan ketrampilan diri yang unggul, serta mampu untuk berkolaborasi dengan rakan sekelas yang lain. Perkembangan kemahiran ini juga perlu bersifat terarah kendiri, dengan setiap pelajar belajar mengikut aras masing-masing.
Pelajar mempunyai akauntabiliti yang tinggi, boleh diharapkan dan dapat beradaptasi dengan persekitaran dan rakan sekelas lain. Selain daripada itu, pelajar juga mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan atas rasa tanggungjawab dan penuh prihatin.