Breaking

18 February 2018

Pembelajaran Abad 21 Membentuk Disiplin Murid


Pembelajaran Abad 21 telah pun diimplementasikan sepenuhnya pada tahun 2017. Terdapat banyak jenis aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru yang kreatif dan bijak merancang PdPc dalam kelas mengikut kepelbagaian kecerdasan murid. PA21 membenarkan guru menggunakan pelbagai cara dan sumber untuk mencapai objektif.  

Bagaimana Pembelajaran Abad 21 dapat membentuk disiplin murid dalam kelas? 

Sama ada guru sedar atau tidak bermula penyediaan kelas dan perancangan PdPc PA21 mampu membantu guru membentuk disiplin murid dalam kelas. Guru perlu bijak menterjemahkan apa yang digariskan dalam PA21 untuk menuai hasil yang baik. Kita lihat bagaimana susunan kelas itu sendiri dapat membantu guru mewujudkan suasana kelas yang kondusif dari aspek persediaan sebelum, semasa dan selepas pembelajaran.

1. Apakah yang menarik apabila murid duduk dalam kumpulan? Sebenarnya, dalam Pembelajaran Abad 21 guru lebih mudah mengawal kelas apabila murid diletakkan dalam kumpulan setiap ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Guru boleh menamakan mereka mengikut nama yang kreatif seperti karakter kartun. 

1.1 Contohnya: Ranger Merah (ketua kumpulan), Ranger Hijau ( kebersihan tempat duduk kumpulan), Ranger Kuning (memastikan ahli kumpulan kemas), Ranger Putih (mengumpul buku latihan jika perlu) dan tugas ini boleh ditukar dari masa ke semasa.

1.2 Ketua kumpulan perlu memastikan setiap ahli mematuhi peraturan kelas yang digariskan, Apabila setiap kumpulan memainkan peranan, kelas akan berada dalam situasi yang terkawal walaupun guru mungkin terlewat masuk kelas. 

2. Wujudkan carta ‘”reward kumpulan” mengikut kreativiti guru sama ada dalam bentuk emoji, gambar yang comel yang boleh dipersembahkan dalam bentuk graf atau bilangan terbanyak akan menarik minat murid untuk mengumpulnya. Ganjaran boleh diberi secara harian seperti kumpulan dengan point yang tinggi boleh keluar rehat lebih awal sedikit daripada kumpulan lain, secara mingguan dalam bentuk hadiah atau secara bulanan mengikut kemampuan dan kreativiti guru. 

2.1 Markah akan dipotong sekiranya ada antara kalangan ahli kumpulan yang tidak mematuhi arahan seperti membiarkan sampah dalam laci meja dan tidak bersarung kaki ke sekolah.
2.2 Kumpulan dengan point terendah perlu melakukan denda yang diberikan bertujuan memberikan pengajaran supaya lebih mematuhi peraturan pada masa hadapan. 

2.3 Point tambahan akan diberi kepada murid yang menunjukkan prestasi cemerlang atau peningkatan dari segi sahsiah mahupun akademik. Guru kelas boleh meminta jasa baik guru mata pelajaran lain untuk sama-sama memberikan point mengikut aktiviti dan objektif masing-masing. 

2.4 Setiap kumpulan juga boleh diberikan satu sudut atau ruang dalam kelas untuk dijaga. Contohnya, sudut bacaan, meja guru dan sudut pameran hasil kerja. Melalui cara ini, murid akan lebih menghargai kelas mereka. Kelas juga akan sentiasa kelihatan kemas sepanjang masa. 

3. Saya lebih suka meletakkan murid dalam kumpulan “multiple intelligences” dan bukannya kumpulan “streaming”. Mengapa? Ini akan menggalakkan sikap saling membantu dan rasa bertanggungjawab terhadap rakan. Ada murid yang lebih mudah menerima cara tunjuk ajar rakan daripada yang diajar guru. Ini juga bagi mengelakkan rasa rendah diri dan hilang keyakinan murid yang lemah apabila seringkali tidak dapat menyiapkan latihan yang diberi. 

3.1 Pada masa yang sama, guru boleh melantik “Cikgu Comel” atau apa juga istilah yang ingin digunakan dalam setiap kumpulan untuk sentiasa membimbing rakannya apabila ada masa terluang terutamanya murid LINUS. Saya memberikan ganjaran mengikut kemampuan kepada “Cikgu Comel” yang berjaya membantu rakannya membaca, mengira dan sebagainya. ( mengikut tugasan yang diberi). 

3.2 Aktiviti seperti ini jugs dapat mengelakkan murid daripada bermain tanpa faedah semasa sesi pertukaran guru sebaliknya mengajar mereka supaya menggunakan masa tersebut dengan bermakna. Tidak semestinya aktiviti membaca, tetapi juga permainan ejaan , silangkata dan sebagainya( guru boleh menyediakan bahan tersebut dalam bentuk yang dilaminate untuk menjimatkan kos cetak). 

3.3 Percaya atau tidak, banyak nilai positif yang dapat diterapkan seperti lebih menghargai rakan, saling membantu, sentiasa peka dengan rakan dan yang lebih penting menghargai setiap masa terluang. Namun, guru perlu sentiasa memberi pengukuhan supaya sikap ini tidak mudah luntur apabila telah mula tersemai. 

Mungkin kaedah Pembelajaran Abad 21 di atas telah diaplikasikan oleh ramai guru. Mungkin ramai juga yang merasakan cara tersebut remeh. Namun, dengan kesabaran dan latih tubi yang berterusan, murid akan sendirinya menjadi lebih baik.

Guru perlu sabar dan kreatif bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid sebaliknya membentuk murid. Ada guru yang garang dan suka menjerit, namun murid tidak berasa takut dan tidak hormat. Ada guru yang kita lihat bersuara lemah lembut bila menegur, namun murid akur dan hormat.

Sumber